Friday 18 May 2012

Bila dilanda tekanan dan dukacita

Sebagai seorang manusia biasa, kita tidak akan dapat lari daripada bebanan dan ujian. Kerap kali kita dilanda ujian dengan rasa sedih dan dukacita, rasa lemah dan malas, rasa kedekut dan penakut, bebanan hutang dan tekanan daripada penindasan orang. Siapakah yang akan bersedia menjadi 'teman' buat kita kongsikan dugaan dan ujian yang menguji empunya diri ini dari hari ke hari? Mungkin untuk tempoh yang panjang?
Kesediaan manusia terbatas, kesabaran manusia terhad, kemurahan manusia bersempadan dan kita amat memerlukan bantuan yang berpanjangan serta mungkin di luar kemampuan manusia biasa. Rasulullah s.a.w mengajar kita agar sentiasa mendambakan diri hanya kepada-Nya semata-mata. Kepada-Nya kita menghambakan diri dan kepada-Nya jua kita memohon segala pertolongan.
"Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung dengan-Mu daripada lemah dan malas; aku berlindung dengan-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung dengan-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan orang."
Kisahnya, pada suatu hari Rasulullah s.a.w masuk ke dalam masjid lalu terserempak seorang yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: "Wahai Abu Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?" Jawab Abu Umamah: "Dukacita dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!"
Jawab Rasulullah: "Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu." Abu Umamah menjawab: "Ya, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Apabila tiba waktu pada dan petang bacalah: اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن... (Doa di atas). Kata Abu Umamah: "Aku membaca doa tersebut, lalu Allah menghilangkan rasa dukacitaku dan melangsaikan hutangku."(Riwayat Abu Daud daripada Abu Said al-Khudri).
Ada baiknya kita beramal dengan doa ini pada setiap pagi atau petang agar terbina keakraban hubungan dengan Allah s.w.t. Doa ini adalah sebahagian daripada 'Al-Ma'thurat', yang bermaksud amalan wirid, zikir dan doa yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah yang diamalkan oleh Nabi s.a.w dan dikumpulkan oleh al-Imam al-Syahid Hassan Al-Banna untuk menjadi manusia soleh.
Tanpa hubungan yang akrab dengan Allah jiwa kita akan menjadi keluh kesah kerana tiada kedamaian. Benarlah kata-kata Syeikhul Islam dalam al-Kalimuttayyib: "Tanpa zikrullah secara istiqamah, diri itu umpama ikan yang tercampak keluar dari airnya."
Mari kita ingat akan janji Allah s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud,
" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagi-Nya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguhnya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." ( Surah At-Talaq, 65: 2-3)


Selamat beramal....

4 comments:

  1. terima kasih d ats perkongsian i2...InsyaAllah..sme-smelah kte beramal..
    luv u k.chik....

    ReplyDelete
  2. welcome...same-smelah kte saling mengingati antara 1 sama lain....luv u 2...hehe

    ReplyDelete
  3. luv u all k.chik n mira..bak kate k.chik in my heart...

    ReplyDelete
  4. hehehehe...luv u all along,angah n ateh..luv u all ketat2..huhuhu..yes, in my heart after my parents and family only have u all...

    ReplyDelete